Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur kembali ke MITEC pada Nov 8-10 2024, tiket <em>early bird</em> sudah mula dijual

Selepas berjaya dilangsungkan buat julung kalinya tahun lalu, Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur (TASKL) bakal kembali semula diadakan di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) tahun ini dan ia akan berlangsung bermula dari 8 hingga 10 November 2024.

Tahun lalu TASKL telah membawa acara tahunan ulung budaya automotif Jepun, Tokyo Auto Salon ke Malaysia di atas tapak seluas 130,000 kaki persegi dan telah menarik lebih dari 91,000 pengunjung. Selain dari pertandingan kenderaan ubahsuai tempatan, TASKL turut membawa kereta-kereta ubahsuai sebenar milik penala-penala Jepun seperti Top Secret, Spoon, HKS, Greddy dan pelbagai lagi.

Malah ia turut diserikan dengan kehadiran ‘selebriti’ dalam dunia tersebut seperti pengasas Top Secret, Smokey Nagata, pemilik Vertex Ridge, Takahiro Ueno dan pengarah R&D Spoon Sports, Daisuke Jomoto.

Bagi TASKL tahun ini, ia akan menampilkan tapak acara yang lebih besar dengan keluasan 170,000 kaki persegi dan akan dihoskan oleh Element X Strategies sebagai pemegang lesen rasmi tunggal dan MUSE Group Asia sebagai penganjur bersama, dengan kerjasama San Ei Corporation – pemilik harta intelek Tokyo Auto Salon dan Persekutuan Tokyo Auto Salon.

“Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur tahun ini menjanjikan pengalaman yang sangat menarik, lebih besar dan hebat untuk pengunjung dan peserta pameran. Seperti pertunjukan asal di Jepun, banyak usaha telah dilakukan untuk memastikan pameran tahun ini terus mengatasi jangkaan peminat,” kata Jason Yap, pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Element X Strategies.

Sementara itu, Riduwan Matni, Ketua Pegawai Eksekutif MUSE Group Asia, mendedahkan bahawa penala dan pempamer Jepun yang hadir di TASKL tahun lepas terkejut dengan sambutan peminat Malaysia terhadap acara tersebut dan berjanji untuk kembali dengan cara yang lebih besar tahun ini.

“Dengan barangan dan komponen terpilih yang tiba-tiba habis dijual pada hari pertama, mereka perlu menerima pra-pesanan. Ia adalah masalah yang baik untuk dihadapi, tetapi mereka telah memberi jaminan kepada kami bahawa mereka pasti akan lebih bersedia untuk Malaysia tahun ini,” kata Riduwan.

Tiket-tiket early bird telah pun mula dijual secara atas talian, dijual pada harga RM50 untuk sehari dan RM120 untuk pas tiga hari. Tiket turut boleh beli dikaunter pada hari acara dilangsungkan dengan harga RM60 untuk sehari. Manakala tiket untuk kanak-kanak berumur antara enam dan 12 tahun berharga RM25 sehari (early bird) atau RM30 sehari (hari acara) dan RM60 untuk pas tiga hari. Kanak-kanak di bawah umur enam tahun boleh masuk secara percuma.

Khas untuk orang kurang upaya (termasuk seorang penjaga jika diperlukan), mereka berhak mendapat potongan 50% daripada harga tiket. TASKL tahun ini juga akan menyaksikan pengenalan tiket Express Lane berharga RM70 sehari untuk early bird dan RM80 sehari pada hari acara. Juga disediakan ialah pas VIP pada harga RM150 sehari yang termasuk akses percuma ke ruang istirahat VIP. Bagi mereka yang mahukan pengalaman paling eksklusif, akses Black Tag khas tersedia dengan harga RM1,500 dan diberikan dengan beberapa keistimewaan.

GALERI: Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur (TASKL) 2023

GALERI: Garage Active Nissan Skyline R32 GT-R Carbon-R di TASKL 2023

GALERI: Nissan Skyline GT-R R34 J-Tune milik Tunku Panglima Johor di TASKL 2023

GALERI: Koleksi replika kereta watak-watak Initial D di TASKL 2023

GALERI: Van-van dan MPV yang diubahsuai di TASKL 2023


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.





Source link