Zeekr lantik Sentinel Automotive jadi rakan niaga di Malaysia — SUV X dan MPV 009 dijangka tiba tahun ini

Minggu lalu, Zeekr mengadakan majlis pratonton model Zeekr X di Malaysia, sekaligus memberi petunjuk bahawa jenama EV milik Geely ini akan masuk ke pasaran sini. Kini, perkara itu telah disahkan melalui perjanjian kerjasama antara syarikati China itu dengan Sentinel Automotive yang akan menjadi rakan niaga tempatannya di Malaysia. Syarikat itu juga telah menandatangani perjanjian sama dengan PT Premium Auto Prima di Indonesia, lapor CarNewsChina.

Syarikat tersebut akan membuka cawangan pertamanya di Kuala Lumpur, dengan bilik pameran di bandar-bandar lain seperti P. Pinang dan Selangor juga direncanakan akan dibangunkan dalam tahun ini. Semua cawangan ini kemudiannya akan mula menjual SUV Zeekr X dan MPV Zeekr 009 — dua model terawal yang diumumkan untuk pasaran Malaysia dan Indonesia.

Laman automotif yang sama turut menambah yang versi pemanduan sebelah kanan bagi X telahpun mula dikeluarkan dari kilang di China minggu lalu, dengan serahan pasaran luarnya dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini. Ia sekaligus menjadi petunjuk kepada bila jenama ini akan diperkenalkan secara rasmi di sini.

Zeekr X dibina menggunakan platform Scalable Electric Architecture (SEA) Geely yang turut digunakan oleh smart #1. Zeekr X mempunyai ukuran panjang 4,450 mm, lebar 1,836 mm, tinggi 1,572 mm dan jarak roda 2,750 mm. Panjang jarak rodanya pula adalah sama seperti smart #1. Ia juga lebih panjang 180 mm dan lebih lebar 14 mm, tetapi tingginya kurang 64 mm berbanding model smart itu. Tidak lupa juga model daripada Volvo iaitu EX30.

Zeekr lantik Sentinel Automotive jadi rakan niaga di Malaysia — SUV X dan MPV 009 dijangka tiba tahun ini

X ditawarkan dalam bentuk motor tunggal RWD atau dua-motor AWD. Versi motor tunggal menghasilkan 272 PS (200 kW) dan 343 Nm tork dan memecut 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat. Versi AWD pula menghasilkan 428 PS (315 kW) dan 543 Nm, dan memecut 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat — ini angka pecutan yang sama dengan smart #1 Premium dan Brabus.

Turut dikongsi antara model smart dan Zeekr ini ialah baterinya: unit nickel manganese cobalt (NMC) 66 kW yang memberikan jarak 560 km untuk RWD dan 512 km untuk AWD. Ini angka mengikut CLTC — penggunaan nyata masing-masing mungkin di sekitar 440 km dan 400 km seperti yang dinyatakan oleh smart. Model smart juga menerima pengecasan DC 150 kW, dan boleh dicas 10-80% dalam masa 30 minit.

Untuk MPV 009 pula, ia lebih panjang dan lebar serta lebih rendah berbanding Toyota Alphard/Vellfire. Di China, 009 menggunakan dua motor elektrik dan sistem pacuan semua roda, dengan janaan 544 PS (400 kW) dan 686 Nm. Ia mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat. Dua pilihan bateri ditawarkan: 116 kWh dan 140 kWh, dengan jarak kitaran CLTC masing-masing sejauh 702 dan 822 km.

Zeekr X di BIMS 2024

Zeekr 009 di BIMS 2024

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.





Source link