Selepas pengumuman oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah mengenai kenaikan harga runcit diesel pada kadar RM3.35 seliter berkuatkuasa hari ini, Kementerian Kewangan (MOF) telah berkongsikan info grafik senarai harga diesel di pasaran Asia Tenggara yang melibatkan beberapa negara jiran termasuk Indonesia, Thailand dan Singapura.

Mengikut info grafik terbabit, Malaysia masih menetapkan harga runcit diesel yang paling rendah di kalangan negara Asia tenggara yang lain, kecuali Brunei. Dengan menunjukkan bahawa harga diesel di Singapura mencecah RM8.79 seliter, Myanmar (RM5.40), Filipina (RM4.75), Kemboja (RM4.64), Laos (RM4.56), Indonesia (RM4.43), Thailand (RM4.24) dan Vietnam (RM3.69).

Seperti yang disebut, satu-satunya negara yang menetapkan harga runcit bagi diesel yang paling murah ialah Brunei iaitu RM1.09 seliter, tidak mengejutkan sebab ia merupakan negara pengeluar minyak yang ketiga terbesar di Asia Tenggara.

Harga diesel RM3.35 seliter di Malaysia masih yang paling rendah di Asia Tenggara selain Brunei

Dengan harga baharu yang diumumkan itu, bermakna peningkatan harga diesel Euro 5 B10 dan B20 di Semenanjung Malaysia kini lebih RM1.20 (atau 56%), berbanding harga terdahulu pada RM2.15 yang dikekalkan sejak Februari 2021. Namun tidak disebut menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh MOF berhubung harga bagi diesel Euro 5 B7, yang sebelum ini lebih 20 sen seliter, dan jika dikira mengikut harga yang telah diselaraskan itu, bermakna kini ia menjadi RM3.55 seliter.

Walau bagaimana pun, harga runcit diesel di Sabah dan Sarawak pula kekal pada RM2.15 seliter. Menurut Amir lagi, harga runcit baharu bahan api itu adalah berdasarkan formula mekanisme harga automatik (APM) bagi bulan Mei.

Selain itu, di bawah implementasi subsidi diesel bersasar ini, kerajaan juga telah menetapkan harga diesel untuk sektor yang layak menerima Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0, yang menyediakan fleet card kepada kenderaan logistik yang layak, ditetapkan pada harga RM2.15 seliter. Ini bertujuan bagi mengurangkan kenaikan harga barangan keperluan pengguna.

Manakala harga runcit diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 1.0 iaitu untuk pengangkutan awam termasuk bas sekolah, bas ekspres, ambulans dan jentera bomba pula dikekalkan pada RM1.88 seliter. Begitu juga dengan subsidi diesel bagi nelayan turut dikekalkan pada harga RM1.65 seliter.

Harga diesel RM3.35 seliter di Malaysia masih yang paling rendah di Asia Tenggara selain Brunei

“Tujuan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi ini adalah untuk membendung ketirisan diesel subsidi yang kian berleluasa dan menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada negara. Kerajaan berbelanja sebanyak RM14.3 bilion untuk subsidi diesel tahun lalu dan negara kini tidak mampu terus kerugian berbilion ringgit akibat penyeludupan dan penyelewengan diesel yang berleluasa, sedangkan wang itu lebih baik dibelanjakan bagi meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan membangunkan negara,” kata Amir.

Menurut beliau lagi, seramai 30,000 pemilik kenderaan diesel persendirian dari kategori B40 bakal menerima RM200 menerusi program Budi Madani yang didepositkan ke akaun masing-masing mulai hari ini.

Manakala Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menegaskan bahawa langkah kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi adalah untuk menyelamatkan negara. Katanya, beliau sedar langkah itu akan ‘dihentam’ habis-habisan, namun perlu dilaksanakan kerana tidak ada pilihan lain, laporan Berita Harian.

“Kita terpaksa ambil beberapa tindakan tidak popular untuk selamatkan negara. Siapa mahu penyasaran subsidi ini? Kena tahu apa pun kita lakukan, kita akan dihentam habis-habisan dengan segala fitnah dan penipuan.Saya lihat (yang) pakai songkok, serban, jubah, tetapi tipu terus menerus, padahal kita beritahu, penyasaran subsidi semua Perdana Menteri sebelum itu sudah setuju cuma tidak ada tekad politik untuk melaksanakan kerana risikonya ada, tetapi untuk selamatkan negara, kita tidak ada pilihan,” katanya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.





Source link