Toyota Vios NGC102 MTC Wing Hin Motorsport bersedia untuk perlumbaan MCS 2024 pusingan ke-2

Selepas sesi shakedown yang dibuat di Litar Antarabangsa Sepang semalam, hari ini kereta lumba Toyota Vios NGC102 yang di bina oleh pasukan Wing Hin Motorsport untuk kelas Malaysia Touring Car (MTC) dalam perlumbaan Malaysia Championship Series (MCS) dan Sepang 1000km (S1K) kini sudahpun bersedia untuk berlumba untuk pusingan kedua MCS yang bakal berlangsung hujung minggu ini.

Dalam hantaran terkini pada akaun Facebook pasukan tersebut, Vios generasi baharu tersebut kini sudahpun diberikan livery perlumbaan dengan grafik bertemakan Toyota Gazoo Racing menggunakan warna rasmi putih-merah-hitam. Kereta lumba ini mengenakan nombor perlumbaan ’36’, iaitu nombor yang sama digunakan pada Vios MTC generasi NSP151 yang digunakan Wing Hin Motorsport sebelum ini.

Pendedahan rupa sebenar jentera lumba ini juga mengesahkan bahawa ia akan dipandu oleh dua pelumba muda negara iaitu pasangan Naquib Azlan dan Mitchell Cheah, yang baru sahaja memenangi kelas Super Compact di perlumbaan pusingan pertama Thailand Super Series 2024 berlangsung di Litar Antarabangsa Chang awal bulan lalu.

Toyota Vios NGC102 MTC Wing Hin Motorsport bersedia untuk perlumbaan MCS 2024 pusingan ke-2

Kereta lumba ini diasaskan dari Vios 1.5E tetapi menggunakan kit badan yang sama seperti Vios 1.5G yang dijual di bilik pameran. Sebagai jentera yang dibina untuk kelas MTC, ia secara tidak langsung tampil dengan rupa lebih agresif berbanding Vios NGC102 yang digunakan oleh selebriti dalam kategori Promotional siri perlumbaan ‘one make’ Vios Challenge yang didedahkan tahun lalu.

Antara yang boleh dilihat, Vios NGC102 MTC ini menggunakan tingkap dan cermin belakang jenis polycarbonate yang lebih ringan, diberikan corong ambilan udara untuk enjin pada bampar hadapan, dibekalkan dengan tangki bahan api perlumbaan ATL yang menampilkan corong pengisian pantas pada ruang nombor plat penutup but belakang, sudut larasan camber roda hadapan yang nampak jauh lebih agresif berbanding jentera Vios Challenge serta dibekalkan dengan set brek perlumbaan sebenar.

Manakala dalam kokpit, Vios MTC ini berikan roda stereng dengan suis-suis perlumbaan dan shift-light dari Motec, selain dari paparan instrument perlumbaan juga dari Motec.

Kelas MTC ini menggunakan asas undang-undang FIA Group A yang memerlukan kereta lumba tersebut masih menggunakan enjin produksi, tetapi membenarkan segala isi perut enjin tersebut menggunakan komponen perlumbaan sebenar, dengan kapasiti ditingkatkan sehingga maksimum 1,600 cc, serta transmisi asal boleh ditukar kepada kotak gear perlumbaan manual jenis dog-box.

Jadi boleh dilihat Vios ini masih dijana oleh enjin 2NR, tetapi diberikan pelbagai peralatan perlumbaan dalam ruang enjin tersebut.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.





Source link