Subaru akhiri operasi CKD di Malaysia, pasaran Asia Tenggara lain tahun depan – tukar ke CBU dari Jepun

Dalam pemfailan dengan Bursa Saham Hong Kong, Tan Chong International Limited (TCIL) dan Subaru Corporation telah mengumumkan bahawa mereka akan menamatkan operasi pemasangan tempatan (CKD) di Asia Tenggara.

“Selepas membuat pertimbangan yang teliti, TCIL dan Subaru Corporation telah bersama-sama memutuskan untuk menjalani transformasi perniagaan yang proaktif dengan menamatkan perniagaan model CKD sedia ada secara berperingkat, kerana ia dipercayai tidak lagi mampan dalam jangka panjang.

“Mulai tahun depan, pasaran CKD di Thailand, Vietnam, Malaysia dan Kemboja akan beralih kepada model import sepenuhnya (CBU) dari Jepun. Walaupun langkah itu terpaksa diambil, namun kedua-dua pihak akan terus meneroka jalan perniagaan tambahan yang berdaya maju bersama-sama dalam pasaran ini,” dalam kenyataan kemas kini terbabit.

Bagi Malaysia, Tan Chong Motor Assemblies (TCMA) anak syarikat bagi Tan Chong Motor Holdings (TCMH) di Segambut bertanggungjawab memasang XV generasi kedua untuk pasaran tempatan dan eksport. Sebelum ini, syarikat terbabit juga memasang Forester generasi ke-empat, dan selepas itu model generasi kelima dipasang pula di Thailand. TCIL dan Subaru Corporation telah membentuk usahasama iaitu Tan Chong Subaru Automotive (Thailand), atau TCSAT pada Februari 2017 untuk memasang kenderaan Subaru di Thailand.

“TCIL dan Subaru Corporation yakin keputusan strategik ini akan meletakkan Subaru untuk terus berjaya dalam pasaran dinamik ini. Ketika TCIL memulakan lembaran baharu ini bersama-sama dengan Subaru Corporation, kedua-dua TCIL dan Subaru Corporation kekal teguh dalam komitmen mereka untuk menyampaikan nilai luar biasa kepada pelanggan, rakan kongsi dan pihak berkepentingan,” kata kenyataan itu lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.





Source link