KTMB sediakan perkhidmatan Tren Khas Ekspres Lambaian Aidiladha – KL Sentral-Tumpat, 14 & 19 Jun

Sempena dengan Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut pertengahan bulan hadapan, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal menyediakan sejumlah 992 tiket bagi perkhidmatan Tren Khas Ekspres Lambaian Aidiladha (ELA) untuk perjalanan dari Stesen KL Sentral ke Stesen Tumpat dan sebaliknya.

Menurut KTMB, jualan tiket akan mula dibuka jam 10 pagi esok (31 Mei) dengan harga bermula daripada RM55 sehingga RM83 bagi perjalanan sehala, laporan Berita Harian.

“Perkhidmatan tren khas ini antara satu inisiatif KTMB bagi menghargai penumpang setianya, di samping menawarkan pengangkutan alternatif kepada penumpang yang akan pulang ke Pantai Timur sempena Aidiladha ini. Ia juga sebagai tanda sokongan kepada pihak kerajaan dalam mengatasi penggunaan jalan darat yang sering kali sesak dengan kadar trafik yang tinggi, khususnya di musim perayaan,” katanya.

Tambahnya, inisiatif ini juga khusus buat mereka yang ingin pulang ke kampung dengan selesa, selamat dengan tambang yang berpatutan.

KTMB sediakan perkhidmatan Tren Khas Ekspres Lambaian Aidiladha – KL Sentral-Tumpat, 14 & 19 Jun

Tren khas itu melibatkan dua perjalanan sahaja iaitu dengan jadual bermula pada 14 Jun bagi laluan KL Sentral-Tumpat dengan masa berlepas jam 11 malam, manakala pada 19 Jun membabitkan perjalanan Tumpat-KL Sentral dengan masa berlepas jam 10.45 malam.

Tren Khas ELA ini akan berhenti di 17 stesen iaitu Stesen KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Pulau Sebang, Gemas, Bahau, Mentakab,Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Dabong, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu dan Tumpat.

Tren khas ini juga dilengkapi dengan koc katil, koc tempat duduk premier, koc tempat duduk superior, koc buffet, dan koc chillax. Pengguna disarankan membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) boleh dimuat turun melalui Play Store, Appstore dan App Gallery atau menerusi laman sesawang KTMB www.ktmb.com.my.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.





Source link