Ford Ranger Stormtrak dilancarkan di Malaysia – RM181,888, hanya 200-unit, lebih sporty dari Wildtrak

Selepas Thailand, kini pasaran Malaysia pula menerima Ford Ranger Stormtrak selepas model berkenaan dilancarkan secara rasmi pagi ini. Secara ringkas model ini merupakan Ranger Wildtrak yang lebih sporty tetapi dengan perincian sedikit kurang mewah berbanding Ranger Platinum, dan ia diumumkan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM181,888. Namun untuk pasaran Malaysia, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) menawarkan Stormtrak ini sebagai model edisi terhad, dibawa hanya 200-unit.

Jadi berbanding Ranger Stromtrak ini adalah RM11,000 lebih mahal berbanding Ranger WildTrak (RM170,888), tetapi masih RM5,000 lebih ,murah berbanding Ranger Platinum (RM186,888). Untuk pelanggan di Sabah, Ford Ranger Stormtrak ini ditawarkan pada harga RM188,288. Sementara di Sarawak pula ia dijual pada harga RM188,288.

Ranger Stormtrak masih dijana oleh unit rangkaian kuasa yang sama seperti Wildtrak iaitu enjin diesel turbo 2.0 liter EcoBlue versi bi-turbo yang menghasilkan kuasa 210 PS pada 3,750 rpm dan tork maksima 500 Nm antara 1,750 hingga 2,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik torque converter 10 kelajuan bersama sistem 4WD separa masa.

Ford Ranger Stormtrak dilancarkan di Malaysia – RM181,888, hanya 200-unit, lebih sporty dari Wildtrak

Sekali imbas, Stormtrak masih nampak dan dibekalkan dengan kelengkapan yang sama seperti Wildtrak. Apa yang berbeza, Stromtrak menerima tambahan lampu LED tiga bintik (dua unit) pada gril bersama kemasan di sekeliling gril yang ditarik sehingga ke bahagian bawah bampar, diwarnakan hitam berkilat bersama satu jalur merah pada bahagian bawah. Manakala tulisan ‘RANGER’ pula diletakkan di atas bonet.

Selain itu Ranger Stormtrak ini turut menerima rim aloi 20-inci (berbanding hanya 18-inci pada Wiltrak) dalam kemasan hitam berkilat serta serlahan merah pada salah satu jejari, dibalut dengan tayar 255/55R20. Kemasan hitam berkilat turut diberikan pada kemasan overfender dan penutup cermin sisi, manakala lencana Stormtrak dilekat pada bahagian bawah pintu serta pintu tailgate di belakang.

Juga tidak seperti Wildtrak, Ranger Stormtrak ini menerima sports bar fleksibel (atau digelar sebagai rak fleksibel oleh Ford) pada bed belakang di mana dia boleh dialih ke hadapan atau kebelakang menerusi rel yang disediakan, dan juga rel bumbung dengan bar boleh-ayun yang boleh dialih posisi dengan mudah. Namun untuk pintu tailgate belakang, ia hanya disokong dengan tali logam, tidak seperti Ranger Platinum yang menerima sokongan peredam.

Ford Ranger Stormtrak dilancarkan di Malaysia – RM181,888, hanya 200-unit, lebih sporty dari Wildtrak

Lagi kelebihan Stormtrak ini berbanding Wildtrak adalah ia dilengkapi dengan lampu sokongan bagi memberikan lebih pencahayaan ketika meredah laluan off-road, sistem lampu pencahayaan zon yang memberikan cahaya pada sekeliling badan trak pikap ini, serta lampu kargo yang membantu ketika memuatkan atau memunggah barang pada bed belakang.

Stormtrak ini juga masih diberikan kamera pemantau 360-darjah seperti Ranger Wildtrak, namun ia ditambah dengan fungsi bantuan parkir aktif 2.0 seperti yang ada pada Ranger Platinum.

Dalam kabin, Ranger Stormtrak ini menerima upholsteri kulit hitam yang digandingkan bersama fabrik sued Miko serta serlahan jahitan Merah Race dan sulaman logo Stormtrak berwarna merah pada tempat duduk. Ia juga menerima tombol penukar gear e-shifter seperti yang ada pada Ranger Platinum dan Ranger Raptor.

Untuk infotainmen, Stormtrak masih dibekalkan dengan sistem Ford SYNC bersama skrin sesentuh 12-inci bersama sokongan Android Auto dan Apple CarPlay hubungan tanpa wayar, disambungkan kepada enam-pembesar suara. Walaubagaimana pun, berbanding Stromtrak pasaran Thailand yang menerima paparan instrumen digital dengan skrin 12.4-inci, model pasaran Malaysia ini masih kekal dengan skrin lapan-inci.

Perincian-perincian lain dari Wildtrak terus disadur pada Stormtrak ini seperti tempat duduk pemandu larasan elektrik, sistem penghawa dingin automatik dua zon, kawalan menurun cerun dan pelbagai lagi. Untuk keselamatan pasif, ia diberikan tujuh-beg udara serta empat penderia parkir hadapan dan empat di belakang.

Manakala sistem keselamatan aktif dan sistem bantuan pemanduan pula ia didatangkan dengan brek kecemasan automatik bersama bantuan pengelak stereng, cruise control adaptif dengan fungsi stop & go, lampu tinggi automatik dan amaran lintasan trafik belakang.

Ford Ranger Stormtrak pasaran Malaysia ini ditawarkan dalam tiga warna badan iaitu Arctic White, Meteor Grey dan Absolute Black – kurang satu warna berbanding model pasaran Thailand iaitu Sedona Orange. Ia dilindungi waranti pengeluar selama lima tahun atau 160,000 km, yang mana sampai dulu, dan pelanggan boleh memilih untuk memanjangkan tempoh waranti ini sehingga tambahan dua tahun atau 40,000 km dengan başaran tambahan.

Untuk menempah Ford Ranger Stormtrak ini atau varian-varian lain trak pikap tersebut, SDAC kini telah menyediakan pilihan tempahan atas talian menerusi laman khas yang boleh anda kunjungi pada PAUTAN INI. Pelanggan yang menempah Ranger Stromtrak menerusi kaedah ini bakal menerima jaket Windbreaker yang sedondon dengan trak pikap ini.

Brosur rasmi Ford Ranger Stormtrak 2024

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.





Source link