EMOS pasang dan eksport Kawasaki ZX-6R ke China – lancar dalam negara awal tahun depan, sekitar RM70k?

Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) yang kini semakin mendapat kepercayaan daripada Kawasaki untuk memasang motosikal berkuasa tinggi di kilangnya di Gurun, Kedah menambah satu lagi model dalam portfolionya iaitu Kawasaki ZX-6R.

Model ini bagaimanapun dibuat untuk pasaran eksport ke China terlebih dahulu, dengan penghantaran pertama sudah bermula Mac lalu sebanyak 28 unit, diikuti penghantaran kedua pada bulan Mei sebanyak 140 unit dan semalam, penghantaran ketiga mula bergerak dari kilang sebanyak 112 unit.

Melihat kepada sejarah EMOS sejak tahun 1997, mereka pernah mengeksport ke 10 buah negara, tetapi buat masa ini, yang aktif cuma ada tiga iaitu Timur Tengah, Thailand dan China. Untuk Timur Tengah, model yang dieksport adalah Kawasaki Z250, Ninja 250, ZX-25RR, Versys X 250, KX250 dan ZX-25R.

EMOS pasang dan eksport Kawasaki ZX-6R ke China – lancar dalam negara awal tahun depan, sekitar RM70k?

Sementara itu untuk negara jiran, Thailand pula, EMOS menghantar model Bajaj, yang terdiri daripada Pulsar NS200, Pulsar NS160, Dominar D250, Pulsar RS200 dan Dominar D400. Sehingga April 2024, 1,795 unit motosikal sudah dihantar ke Thailand (sejak Ogos 2020), dan 1,036 unit ke Timur Tengah (sejak Julai 2023).

Di dalam kilang EMOS, Kawasaki mempunyai barisan pengeluarannya yang sendiri dan kini sudah berjumlah tiga baris dan mempunyai kapasiti pengeluaran keseluruhan sebanyak 130,000 unit setiap tahun. Model Kawasaki yang dipasang sekarang adalah termasuk Ninja 250, Z250, Versys X 250, Vulcan S 650, Z900, ZX-25R, Ninja 650, Z650, Versys 650 dan ZX-6R.

Meskipun ZX-6R dikeluarkan untuk pasaran eksport terlebih dahulu, kami menerima berita ia juga bakal diperkenalkan untuk pasaran Malaysia pada awal tahun hadapan. Masih terlalu awal untuk harganya disiarkan sekarang, tetapi kami menjangkakan ia berada pada sekitar RM70k.

ZX-6R adalah sebuah motosikal sport yang dipacu oleh enjin empat silinder 636 cc dan dipadankan bersama transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa sehingga 124 PS pada 13,000 rpm dan tork 69 Nm pada 10,800 rpm.

Motosikal ini dibuat untuk tunggangan yang agresif dan didatangkan dengan kelengkapan berprestasi yang termasuk suspensi Showa boleh laras sepenuhnya di depan dan belakang, brek cakera berkembar dengan angkup empat piston di hadapan, empat mod tunggangan, meter TFT serta quickshifter.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.





Source link